Lawatan insentif
Dengar wahai penggemar makanan Korea!
Kimchi, makanan sebenar Korea. Amway terbangkan 10 tan jeruk kubis pedas ke Kota Kinabalu.
Kenapa Amway terbangkan 18 chef Korea ke Sabah
Dengar ini daripada orang Korea: Anda tidak akan dapat makanan sebenar orang Korea di Sabah sebab tidak ada tukang masak Korea yang bagus. Sebab itulah Amway Korea menerbangkan 18 chef daripada negaranya untuk memasak bagi pihak 4,500 jurujual terbaik yang berada di Nexus Resort & Spa Karambunai bagi menikmati percutian eksotik dari 17 November hingga 7 Disember.
Min-Woo Lee: Tidak asli.
“Nexus tidak dapat mencari tukang masak Korea yang bagus," Min-Woo Lee, jurucakap Amway Korea memberitahu Insight Sabah. "Kami perlu menghidangkan makanan Korea yang sebenar kepada delegasi kami kerana kami amat sukakan makanan Korea. Kami tidak dapat cari makanan Korea yang sebenar di sini, jadi kami terpaksa bawa tukang masak kami sendiri bersama-sama."
Han: Terkawal.
Bukan itu saja. Amway, syarikat jualan langsung Amerika yang terkenal dengan produk pencuci dan vitaman itu, turut menerbangkan 10 tan kimchi (jeruk kubis pedas) ke Kota Kinabalu menggunakan penerbangan sewa khas; dan sudah tentu mereka menggunakan pesawat Boeing Korean Air. "Pesawat itu hanya boleh membawa 2.5 tan kimchi. Jadi kami sewa empat Boeing 747," kata Encik Lee.
Gyu-Young Han, sou chef daripada Hotel Sheraton Grande Walkerhill di Seoul, turut ada untuk memantau katering makanan itu. "Kami seperti mewujudkan restoran Korea di sini di Nexus," katanya. Peralatan dapur dan kebanyakan daripada makanannya, termasuk makanan laut, turut diterbangkan di sini dari Seoul. "Satu-satunya yang kami beli di sini ialah sayuran dan tauhu," kata Han.
Encik Han, 48, yang ada pengalaman 23 tahun dan 17 chefnya memasak tiga kali sehari untuk 800 delegasi sidang Amway tahunan itu.
Bukan saja chef dibawa di sini. Lee berkata, syarikatnya juga terbangkan pakar kecantikan, pakar nutrisi, yoga dan pelatih senaman fizikal dari negaranya untuk menjaga pemenang-pemenang jualan insentifnya.
Ini adalah yang ketiga kali Amway Korea memilih Nexus untuk mengadakan konvensyen. Mereka pernah berada di sini pada 2003 dan 2005. Encik Lee berkata, syarikatnya memilih Nexus atas sebab logistik dan sebab keadaan persekitarannya yang dikelilingi dengan alam semulajadi. "Hanya di Sabah yang benarkan kami guna seluruh hotel, biliknya, restoran, dapur dan bar," katanya.
"Tidak mudah mencari destinasi pelancongan utama di mana kami boleh tempah keseluruhan penginapan untuk kemudahan semua delegasi kami. Orang-orang kami suka keadaan persekitaran semulajadi dan pantai yang cantik," kata Encik Lee.
Peter Sprenger:
Hotel ditutup kepada orang awam.
Hannah Seo: Masalah pengangkutan.
Peter Sprenger, Pengurus Besar Nexus berkata, beliau terpaksa menutup hotel itu kepada orang awam sebab kesemua 485 bilik dan enam vila mewahnya diberi kepada delegasi Amway. "Segala-galanya di hotel itu termasuk lapan tempat makan dan minuman diberi kepada kami," katanya. "Hanya kelab golf dan spa Borneo dibuka kepada orang awam."
Encik Sprenger berkata, hotelnya mengupah 100 pekerja sementara untuk mengendalikan orang Korea yang ada.
Lee berkata, dia terpaksa membahagikan delegasinya kepada lima kumpulan di antara 800 dan 900 orang yang setiap kali menghabiskan masa empat hari di sidang itu. "Ini adalah salah satu lawatan insentif terbesar kami pada tahun ini," katanya.
Namun, menganjur lawatan bagi orang Korea ini menimbulkan masalah. "Masalah paling sukar ialah mengatur pengangkutan bagi delegasi ini," kata Hannah Seo dari syarikat Business Travel and Incentive Tour Korea.
"Akhirnya saya sewa 27 bas yang setiap satunya ada 40 tempat duduk daripada lima syarikat berbeza. Ia ada warna dan logo berbeza," katanya.
Kebimbangannya yang lain ialah cuaca. "Tapi syukurlah cuaca agak baik kepada kami di sini. Tidak ada hujan yang cacatkan aktiviti luar kami," kata Seo. – Insight Sabah
– With reporting by Jacqueline Gom and Henry Matakim
Diterbitkan pada 08-12-2009 04:51 pm
No comments:
Post a Comment